Monday, June 21, 2010

Kecerdasan pelbagai dalam pengurusan bilik darjah

“Setiap individu mempunyai jiwa, setiap jiwa pula mempunyai tiga komponen sumber kuasa dan kuasa tersebut ialah kuasa personaliti, kuasa pengetahuan dan kuasa kemahiran.”
Kamaruzzaman Jalaludin (2003)

Era globalisasi abad ke-21 ini telah memberi cabaran yang besar terhadap institusi pendidikan di Malaysia. Secara tidak langsung keadaan ini menuntut para guru sama ada bagi yang bertugas di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman agar bersiap sedia menghadapi karenah murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Jika guru gagal menghadapi karenah murid yang pelbagai, tidak mustahil kita dapat lihat kes-kes disiplin yang kian meruncing di kalangan anak remaja zaman sekarang dengan kes buli, ponteng sekolah, ragut, kecurian, vandelisme dan sebagainya. Situasi ini berlaku salah satunya disebabkan berlakunya ketidakseimbangan di antara kecerdasan intelek (IQ), emosi (EQ) dan spiritual (SQ) di kalangan pelajar sekolah. Imam Al-Ghazali pernah mengatakan jika kita ingin memandang masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah golongan remaja yang ada pada masa sekarang. Kata-kata ini memberi petunjuk kepada seluruh institusi keluarga, pendidikan dan negara agar menitik beratkan pembangunan golongan remaja dari segala aspek seperti disarankan di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Apabila menyentuh soal ini, saya ingin kaitkan dengan pembangunan pelajar di peringkat sekolah kerana sekolah menjadi platform dalam mendidik golongan ini agar mempunyai masa hadapan yang lebih cemerlang.

Perkara yang perlu diambil kira berhubung dengan situasi tersebut adalah pengurusan bilik darjah yang berkesan. Menurut Shahabuddin, Rohizani dan Mohd. Zohir (2007) telah menyatakan bahawa masalah disiplin yang berlaku di dalam bilik darjah berpunca daripada 3 kategori iaitu guru, persekitaran bilik darjah dan pengaruh luar. Kategori pertama berkaitan dengan pendekatan dan kaedah pengajaran guru yang tidak menarik serta tidak sesuai. Selain itu, perwatakan dan sahsiah guru seperti tidak tegas, autokratik, pilih kasih atau tidak membuat persediaan membuatkan pelajar hilang keyakinan terhadap guru. Faktor persekitaran bilik darjah seperti tidak selesa dan bilangan pelajar yang terlalu ramai juga menyumbang kepada masalah tersebut. Faktor ketiga iaitu pengaruh luar seperti masalah keluarga, rakan sebaya dan media masa boleh mempengaruhi masalah disiplin dalam bilik darjah.

Tetapi apabila menyentuh mengenai pengurusan bilik darjah, saya ingin fokuskan terhadap kategori yang pertama iaitu guru. Pada pandangan saya, masalah disiplin dapat diatasi dari aspek pendekatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang memberi makna kepada pelajar tersebut. Jika pendekatan guru dapat memberi keseimbangan dalam aspek IQ, EQ dan SQ, secara tidak langsung pelajar tersebut dapat membuat penilaian yang betul sebelum membuat keputusan terhadap sesuatu tindakan. Caranya ialah menerapkan Teori Kecerdasan Pelbagai dalam P&P yang telah diperkenalkan oleh Haward Gardner (1983) meliputi kecerdasan verbal-linguistik, logik-matematik, visual-ruang, kinestetik, muzik, interpersonal, intrapersonal dan naturalis. Kemudian ada dua lagi kecerdasan yang dapat disepadukan dengan 8 kecerdasan tadi iaitu kecerdasan spiritual dan kecerdasan moral (Salhah Abdullah, 2009). Gardner (1998) telah menegaskan teori kecerdasan pelbagai mempunyai prinsip-prinsip tertentu mengenai kecerdasan manusia dan setiap manusia mempunyai semua lapan jenis kecerdasan tersebut. Tetapi kebiasaannya setiap individu mempunyai sekurang-kurangnya satu atau dua kecerdasan yang lebih dominan berbanding kecerdasan lain dan kecerdasan-kecerdasan tersebut dapat dikembangkan melalui pendidikan, pengalaman dan persekitaran. Saya menekankan mengenai pengaplikasian teori kecerdasan pelbagai ini ke dalam P&P kerana teori ini merupakan resepi yang menggunakan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik bagi meningkatkan IQ, EQ dan SQ.

Semua elemen kecerdasan pelbagai dapat disepadukan melalui penerapan terhadap nilai-nilai murni. Contohnya pengaplikasian kecerdasan pelbagai mengenai sesuatu konsep dalam subjek matematik seperti masa. Konsep syukur dan menghormati masa dapat mengajar sesuatu yang memberi manfaat. Aspek pengiraan waktu dalam pengajaran matematik juga boleh dikaitkan dengan kecerdasan naturalis seperti melukis waktu pagi, tengah hari, petang, senja dan malam. Guru juga boleh menerapkan kecerdasan muzik dengan mengajar murid menyanyikan lagu yang berkaitan dengan waktu. Selain itu, kecerdasan verbal-linguistik dan intrapersonal dikaitkan dengan penciptaan puisi yang bertemakan waktu sementara kecerdasan kinestetik pula ialah berkaitan pergerakan menari mengikut irama lagu.

Secara konklusinya, kecerdasan pelbagai memainkan peranan penting dalam pembentukan akademik dan sahsiah pelajar kerana menurut Haward Gardner, kecerdasan berkaitan dengan keupayaan atau kemampuan menyelesaikan masalah atau mencipta produk yang bernilai kepada seseorang atau kepada masyarakat dari pelbagai budaya. Di samping matlamat pendidikan untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari segala aspek, pelajar juga dididik agar dapat membuat keputusan yang betul, dengan cara yang betul, pada masa yang betul, pada keadaan yang betul dan pada tempat yang betul. Secara tidak langsung, pendekatan ini dapat mengelakkan daripada berlakunya masalah disiplin dari peringkat remaja yang kian meruncing dari hari ke hari.

Sunday, June 13, 2010

Ceramah Slot Motivasi UPSR 2009


Ceramah ini saya sampaikan semasa slot motivasi UPSR SK Samparita, Kota Marudu tahun 2009. Kedua-dua rakaman merupakan penutup bagi slot tersebut agar dapat membuka minda mereka untuk mengejar impian. Harap mereka mendapat kesedaran untuk menjadi modal insan yang dapat membantu diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Kecerdasan Intelektual, Emosi dan Spiritual dalam mencapai matlamat hidup

... 80% kejayaan dalam bekerja bergantung kepada kecerdasan emosi dan hanya 20% bergantung kepada kecerdasan intelek... (Human Resource megazine, November 1997)

Saya telah menulis sebelum ini bahawa manusia merupakan gabungan antara jasad, roh dan akal. Setiap manusia mempunyai potensi sendiri yang perlu diterokai untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan. Pendek kata, jika seseorang itu gagal dalam satu-satu bidang, tidak semestinya dia gagal segala-galanya. Bagi saya, dia belum jumpa bidang yang sesuai dengan dirinya. Sebelum itu, ada satu persoalan yang timbul... Apakah tujuan kita bersekolah? kadang-kadang, segelintir dari murid-murid yang datang ke sekolah tidak tahu apakah matlamat sebenar mereka datang ke sekolah. Sebab itulah ketika guru mengajar mereka tidak berkelakuan seperti murid sekolah. Jadi, keadaan ini perlu ditekankan dari awal lagi. Kebiasaannya apabila memasuki kelas, guru kelas akan bertanya apakah cita-cita murid-murid mereka apabila menjadi dewasa nanti. Ketika diajukan soalan tersebut, bermacam-macam bidang kerjaya yang akan keluar dari mulut mereka dan paling menyedihkan lagi ada yang tidak tahu nak jadi apa setelah dewasa nanti. Kita tidak boleh menyalahkan mereka jika mereka tidak tahu matlamat mereka datang ke sekolah dan gurulah yang bertanggungjawab mendedahkan matlamat mereka datang ke sekolah. Justeru itu, salah satu matlamat utama murid datang ke sekolah adalah bagi mendapatkan bidang kerjaya yang bagus setelah tamat alam persekolahan mereka. Kita sudah sedia maklum, sekolah mempunyai unit bimbingan dan kaunseling untuk mendedahkan peluang-peluang kerjaya yang bakal ditempuhi apabila murid-murid tersebut melangkah ke alam pekerjaan. Secara tidak langsung, cara ini dapat membuka minda murid-murid tentang matlamat mereka datang ke sekolah. Seorang motivator terkenal, Zig Ziglar pernah menyatakan bahawa kehidupan tanpa impian merupakan sebuah kematian. Ini bermakna, orang yang tidak ada impian atau matlamat hidup adalah mati sebelum mati. Seolah-olah hidupnya seperti hidupan lain yang ada di atas muka bumi ini seperti ikan, kucing, lembu, pokok dan sebagainya. Mereka hidup hanya untuk makan, minum, beranak-pinak dan berakhir dengan kematian. Oleh yang demikian, matlamat hidup adalah penting untuk didedahkan.

Tetapi persoalannya, bagaimanakah hendak mencapai matlamat tersebut? Jika kita hanya menasihati mereka agar berlumba-lumba mengejar cita-cita, mereka akan bersemangat untuk mencapainya tetapi sejauh manakah mereka dapat mancapai cita-cita tersebut. Nanti ada di antara mereka yang akan mencapainya dan ada yang terkandas di tengah jalan. Oleh itu, di sini saya ingin kongsikan salah satu perkara yang perlu diambil perhatian dalam proses mendidik anak-anak atau murid-murid sekolah agar mereka dapat membuat keputusan jalan manakah yang mereka harus pilih apabila menempuhi hari-hari yang mendatang. Perkara tersebut ialah mengambil berat mengenai kombinasi 3 aspek kecerdasan yang amat penting dalam diri seseorang iaitu kecerdasan intelek (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan spiritual (SQ). Sebelum itu, apakah yang dimaksudkan dengan kecerdasan? Robert Ornztein mengatakan kecerdasan merupakan bakat. Shephard dan Jupp (1976) pula mengatakan kecerdasan adalah keupayaan untuk belajar, berfikir dan menyesuaikan diri melalui pengalaman. Manakala Harward Gardner (1999) mendefinisikan kecerdasan sebagai 'keupayaan menyelesaikan masalah'. Banyak definisi yang telah dikemukakan tetapi secara tuntasnya kecerdasan membawa maksud 'keupayaan seseorang itu untuk membuat keputusan atau menyelesaikan masalah'. Walaubagaimanapun, kecerdasan intelek belum cukup menjamin syarat untuk seseorang itu mencapai kejayaan kerana menurut Salhah Abdullah (2009) dalam bukunya bertajuk Kecerdasan Pelbagai : Aplikasi dalam pengajaran dan pembelajaran menyatakan bahawa IQ sekadar prasyarat dan satu indikator kelayakan akademik yang memenuhi syarat memohon jawatan tetapi belum menjamin kejayaan tanpa kekuatan emosi dalaman. Kekuatan ini berkait rapat bagi seseorang itu dalam berkomunikasi dengan orang lain dan memberi pengaruh yang besar dalam prestasi di tempat kerja. Saya telah memetik kenyataan dari sebuah majalah ternama di atas tadi untuk menunjukkan bahawa kecerdasan intelek belum memadai lagi untuk seseorang itu menempuh kehidupan yang kian mencabar. Pada zaman dahulu sistem persekolahan lebih menitik beratkan aspek kecerdasan intelek, tetapi zaman sekarang sudah berubah ditambah pula dengan zaman yang dikatakan dunia tanpa sempadan (borderless).

Aspek kecerdasan emosi juga perlu ditekankan kerana kebijaksanaan seseorang menggunakan aspek perasaan dalam membuat keputusan dan bertindak ketika berkomunikasi dengan orang lain amat besar pengaruhnya berbanding memberikan hujah yang berdasarkan logik semata-mata. Menurut Young (1996), kecerdasan emosi (EQ) didefinisikan sebagai sejenis kecerdasan sosial yang melibatkan kemahiran memantau serta membuat diskriminasi antara emosi sendiri atau orang lain dan seterusnya, manfaatkan maklumat ini sebagai panduan pemikiran dan tindakan orang lain. Terdapat 5 dimensi kecerdasan emosi yang dapat diringkaskan iaitu:
1. pengetahuan kendiri
2. kawalan kendiri
3. motivasi kendiri
4. empati
5. kemahiran sosial
Oleh itu, keupayaan seseorang itu mengawal perasaan dalam apa jua keadaan amat penting terutamanya ketika berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling. Keadaan ini dapat mengelakkan daripada berlakunya perkara-perkara negatif yang tidak diigini seperti pergaduhan.

Di samping itu, IQ dan EQ sahaja tidak mencukupi. Kita sudah sedia maklum, manusia mempunyai agama yang menjadi pegangan hidup. Orang yang tidak mempunyai agama umpama layang-layang yang putus talinya, terbang tidak ada arah tujuan. Di dalam dunia ini, tidak ada agama yang menyuruh penganutnya membuat sesuatu yang perkara yang di luar norma hidup manusia, semuanya mengajak kepada kebaikan atau menjalani kehidupan yang bermoral. Jadi, kecerdasan spiritual (SQ) juga perlu diambil kira. Menurut Mohd. Azhar Abd. Hamid (2004) dalam buku EQ : Panduan meningkatkan kecerdasan emosi telah menyatakan bahawa "emosi hanya dimiliki oleh manusia namun tidak semua manusia memiliki kemanusiaan." Bagi Ary Ginanjar Agustian yang merupakan pengasas The ESQ Way 165, beliau telah mempersoalkan sejauh mana kita jujur pada diri sendiri. Nabi Muhammad SAW menyatakan, "Dosa membuat hati menjadi gelisah". Oleh yang demikian secara tuntasnya, SQ merupakan bagaimana seseorang itu menjaga hubungannya dengan Maha Pencipta, sesama manusia dan alam sekeliling.

Secara kesimpulannya, kehidupan seseorang itu perlu seimbang dalam aspek IQ, EQ dan SQ kerana perjalanan hidup memerlukan seseorang itu mempunyai kemahiran yang mampu membuat keputusan terbaik dalam semua keadaan. Jika keadaan ini tidak diambil kira, kita dapat lihat pada tahun 2005 sahaja lbh kurang 80,000 graduan menganggur disebabkan beberapa faktor dalaman seperti yang pernah dinyatakan oleh seorang individu iaitu tiada daya kreativiti dalam mencipta peluang pekerjaan sendiri, terikat dengan bidang pengkhususan ketika di universiti dalam menentukan kerjaya, terlalu memilih kerjaya dan terdapat juga graduan yang tidak menguasai bidang pengkhususan mereka dengan baik. Di samping itu, ketidakseimbangan dalam ketiga-tiga aspek kecerdasan ini juga boleh menimbulkan keadaan-keadaan buruk yang berlaku di sekiling kita seperti kecurian, pecah amanah, pembunuhan, peperangan, rempit, dadah dan sebagainya. Oleh yang demikian, sektor pendidikan dan institusi rumahtangga perlu menerapkan ketiga-tiga aspek ini kepada golongan kanak-kanak di bangku sekolah bagi melahirkan modal insan minda kelas pertama yang seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Friday, June 11, 2010

Untuk Renungan Bersama

Assalamualaikum...

Mengapa saya menulis di ruangan ini? Matlamat utama saya adalah untuk berkongsi bahawa manusia mempunyai potensi dalaman yang dapat menjadikan seseorang itu berjaya mencapai sesuatu yang diinginkan. Kita sudah sedia maklum, secara hakikatnya manusia dilahirkan dalam proses yang sama selama 9 bulan 10 hari dan berjaya dilahirkan ke dunia dalam keadaan selamat. Tetapi apabila meningkat dewasa, kenapa ada manusia yang berjaya dan ada manusia yang gagal? Tepuk dada, tanyalah minda.... Manusia merupakan makhluk yang unik dan dijadikan sebaik-baik kejadian. Di samping itu, manusia merupakan gabungan kombinasi yang terdiri daripada jasad, roh dan akal. Ketiga-tiga kombinasi inilah yang menjadikan manusia itu lebih mulia daripada segala makhluk yang dijadikan di alam semesta ini. Setiap komponen kombinasi ini mempunyai makanannya sendiri. Jasad mempunyai makanannya yang terdiri daripada makanan yang dimakan setiap hari, makanan bagi roh adalah amal ibadat dan makanan bagi akal pula adalah ilmu pengetahuan. Oleh yang demikian, jika kita memahami sedalam-dalamnya setiap komponen tersebut, tidak mustahil kita dapat memikirkan apa yang perlu dilakukan dalam menjalani arus kehidupan yang kian mencabar serta dapat memilih jalan manakah yang harus dilalui untuk mencapai kebahagiaan hidup.

Sekian, wasalam.