“Setiap individu mempunyai jiwa, setiap jiwa pula mempunyai tiga komponen sumber kuasa dan kuasa tersebut ialah kuasa personaliti, kuasa pengetahuan dan kuasa kemahiran.”
Kamaruzzaman Jalaludin (2003)
Era globalisasi abad ke-21 ini telah memberi cabaran yang besar terhadap institusi pendidikan di Malaysia. Secara tidak langsung keadaan ini menuntut para guru sama ada bagi yang bertugas di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman agar bersiap sedia menghadapi karenah murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Jika guru gagal menghadapi karenah murid yang pelbagai, tidak mustahil kita dapat lihat kes-kes disiplin yang kian meruncing di kalangan anak remaja zaman sekarang dengan kes buli, ponteng sekolah, ragut, kecurian, vandelisme dan sebagainya. Situasi ini berlaku salah satunya disebabkan berlakunya ketidakseimbangan di antara kecerdasan intelek (IQ), emosi (EQ) dan spiritual (SQ) di kalangan pelajar sekolah. Imam Al-Ghazali pernah mengatakan jika kita ingin memandang masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah golongan remaja yang ada pada masa sekarang. Kata-kata ini memberi petunjuk kepada seluruh institusi keluarga, pendidikan dan negara agar menitik beratkan pembangunan golongan remaja dari segala aspek seperti disarankan di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Apabila menyentuh soal ini, saya ingin kaitkan dengan pembangunan pelajar di peringkat sekolah kerana sekolah menjadi platform dalam mendidik golongan ini agar mempunyai masa hadapan yang lebih cemerlang.
Perkara yang perlu diambil kira berhubung dengan situasi tersebut adalah pengurusan bilik darjah yang berkesan. Menurut Shahabuddin, Rohizani dan Mohd. Zohir (2007) telah menyatakan bahawa masalah disiplin yang berlaku di dalam bilik darjah berpunca daripada 3 kategori iaitu guru, persekitaran bilik darjah dan pengaruh luar. Kategori pertama berkaitan dengan pendekatan dan kaedah pengajaran guru yang tidak menarik serta tidak sesuai. Selain itu, perwatakan dan sahsiah guru seperti tidak tegas, autokratik, pilih kasih atau tidak membuat persediaan membuatkan pelajar hilang keyakinan terhadap guru. Faktor persekitaran bilik darjah seperti tidak selesa dan bilangan pelajar yang terlalu ramai juga menyumbang kepada masalah tersebut. Faktor ketiga iaitu pengaruh luar seperti masalah keluarga, rakan sebaya dan media masa boleh mempengaruhi masalah disiplin dalam bilik darjah.
Tetapi apabila menyentuh mengenai pengurusan bilik darjah, saya ingin fokuskan terhadap kategori yang pertama iaitu guru. Pada pandangan saya, masalah disiplin dapat diatasi dari aspek pendekatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang memberi makna kepada pelajar tersebut. Jika pendekatan guru dapat memberi keseimbangan dalam aspek IQ, EQ dan SQ, secara tidak langsung pelajar tersebut dapat membuat penilaian yang betul sebelum membuat keputusan terhadap sesuatu tindakan. Caranya ialah menerapkan Teori Kecerdasan Pelbagai dalam P&P yang telah diperkenalkan oleh Haward Gardner (1983) meliputi kecerdasan verbal-linguistik, logik-matematik, visual-ruang, kinestetik, muzik, interpersonal, intrapersonal dan naturalis. Kemudian ada dua lagi kecerdasan yang dapat disepadukan dengan 8 kecerdasan tadi iaitu kecerdasan spiritual dan kecerdasan moral (Salhah Abdullah, 2009). Gardner (1998) telah menegaskan teori kecerdasan pelbagai mempunyai prinsip-prinsip tertentu mengenai kecerdasan manusia dan setiap manusia mempunyai semua lapan jenis kecerdasan tersebut. Tetapi kebiasaannya setiap individu mempunyai sekurang-kurangnya satu atau dua kecerdasan yang lebih dominan berbanding kecerdasan lain dan kecerdasan-kecerdasan tersebut dapat dikembangkan melalui pendidikan, pengalaman dan persekitaran. Saya menekankan mengenai pengaplikasian teori kecerdasan pelbagai ini ke dalam P&P kerana teori ini merupakan resepi yang menggunakan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik bagi meningkatkan IQ, EQ dan SQ.
Semua elemen kecerdasan pelbagai dapat disepadukan melalui penerapan terhadap nilai-nilai murni. Contohnya pengaplikasian kecerdasan pelbagai mengenai sesuatu konsep dalam subjek matematik seperti masa. Konsep syukur dan menghormati masa dapat mengajar sesuatu yang memberi manfaat. Aspek pengiraan waktu dalam pengajaran matematik juga boleh dikaitkan dengan kecerdasan naturalis seperti melukis waktu pagi, tengah hari, petang, senja dan malam. Guru juga boleh menerapkan kecerdasan muzik dengan mengajar murid menyanyikan lagu yang berkaitan dengan waktu. Selain itu, kecerdasan verbal-linguistik dan intrapersonal dikaitkan dengan penciptaan puisi yang bertemakan waktu sementara kecerdasan kinestetik pula ialah berkaitan pergerakan menari mengikut irama lagu.
Secara konklusinya, kecerdasan pelbagai memainkan peranan penting dalam pembentukan akademik dan sahsiah pelajar kerana menurut Haward Gardner, kecerdasan berkaitan dengan keupayaan atau kemampuan menyelesaikan masalah atau mencipta produk yang bernilai kepada seseorang atau kepada masyarakat dari pelbagai budaya. Di samping matlamat pendidikan untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari segala aspek, pelajar juga dididik agar dapat membuat keputusan yang betul, dengan cara yang betul, pada masa yang betul, pada keadaan yang betul dan pada tempat yang betul. Secara tidak langsung, pendekatan ini dapat mengelakkan daripada berlakunya masalah disiplin dari peringkat remaja yang kian meruncing dari hari ke hari.
Teori 'Emotional Inteligent' ~ Howard Gardner merupakan keperluan pelajar masa kini. Pendidikan sebegini harus dicerahkan kepada para pelajar untuk masa hadapan mereka. Terima kasih atas info yang begitu menarik.
ReplyDelete