Monday, July 26, 2010

Kehidupan yang seimbang

"Apakah akan terjadi jika kita memiliki roda yang berlekuk-lekuk? Sudah tentu pergerakan roda tersebut juga akan terhoyong-hayang sepertimana bentuk roda tersebut."

Begitulah gambaran kehidupan jika tidak seimbang dari segala aspek. Persoalan saya, apakah kebahagiaan? Adakah memiliki wang yang banyak sahaja boleh dikatakan sudah bahagia? Atau adakah memiliki kesihatan yang berpanjangan sahaja boleh dikatakan bahagia? Atau adakah mempunyai pengaruh politik yang kuat sahaja boleh dikatakan sudah bahagia? Ya, kita boleh mengatakan memiliki perkara-perkara tersebut sebagai bahagia, tetapi belum tentu boleh mencapai kebahagiaan yang sepenuhnya. Jika dilihat seseorang itu hanya berjaya memiliki sesuatu yang diidamkan tetapi tidak menghiraukan aspek-aspek lain, dia akan menghadapi masalah di kemudian hari. Contohnya seseorang hartawan yang memiliki wang yang banyak tetapi mempunyai masalah sakit jantung, wang yang ada terpaksa dihabiskan untuk rawatan jantung tersebut. Jika seseorang itu memiliki bilangan ahli keluarga yang ramai tetapi menghadapi masalah kewangan, lama-kelamaan hubungan kekeluargaan akan terjejas kerana sibuk mencari wang. Jika seseorang itu memiliki bidang kerjaya yang hebat tetapi tidak menjaga hubungan sosial dengan masyarakat sekeliling, lama-kelamaan dia akan dipinggirkan oleh orang-orang sekeliling. Banyak lagi contoh-contoh yang dapat dikaitkan jika tidak seimbang dalam segala aspek kehidupan.

Setiap manusia diberikan 60 saat untuk seminit, 60 minit untuk sejam, 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari dalam setahun. Jadi seseorang itu perlu bijak dalam hal pengurusan masa untuk seimbangkan aspek kerjaya, kewangan, sosial, kebajikan, agama, keluarga, kesihatan dan sebagainya. Jika tidak seimbang, kehidupan akan menjadi seperti bentuk roda yang berlekuk-lekuk dan pergerakan roda tersebut juga akan menjadi tidak stabil.



Gambarajah contoh beberapa aspek untuk seimbangkan kehidupan. Sumber dari buku bertajuk "Kuasa Hijrah Kuasa Untuk Berubah" penulisan Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah dan Ahmad Fadzli Yusof.



Gambarajah jika setiap aspek tersebut diletakkan tahap pencapaian.



Hasilnya akan menjadi begini jika kita tidak dapat seimbangkan aspek-aspek tersebut dalam kehidupan.

Oleh itu, kita haruslah membahagikan masa untuk perlaksanaan aktiviti harian yang seimbang seperti stabilnya pergerakan sebuah roda.

No comments:

Post a Comment