"Thought become things... successful people know what they want, but unsuccessful people didn't know what they want in their life..."
Warkah penjanaan minda kali ini saya mulakan dengan sebuah cerita yang dipetik dari sebuah buku bertajuk "Rahsia Minda Jutawan" penulisan Amar Mahmood. " Suatu hari, seorang petani terjumpa telur helang di atas sebuah pohon yang dijadikan sarang oleh burung helang. Petani itu membawa balik dan meletakkan telur itu bersama-sama dengan telur ayam yang dieramkan oleh ibu ayam. Selepas menetas, anak helang itu hidup seperti anak-anak ayam yang lain. Suatu hari, ia melihat burung helang yang terbang dengan megahnya di angkasa. Berkata-kata anak helang tadi, "Wah, Siapakah gerangannya yang terbang dengan pantas dan gagah itu?" "Itulah helang, raja segala burung," kata anak ayam. "Tidak bolehkah kita terbang sepertinya?" kata anak helang lagi. "Janganlah bermimpi kerana kita hanya ayam, makhluk di daratan. Manakala helang burung yang memang gagah di udara." Anak helang melihat banyak persamaan yang terdapat pada dirinya dengan helang yang terbang di udara. Namun kerana kata-kata anak ayam disekelilingnya yang menyatakan dirinya hanya ayam, ia hanya boleh makan dan minum seperti ayam. Anak helang mempercayai ia tidak boleh terbang seperti helang yang gagah di udara walaupun ia mempunyai kebolehan terbang di langit.
Pakar neurologi membuat kajian bahawa secara purata, manusia hanya menggunakan 10 peratus daripada potensi otaknya. Persoalannya, ke manakah perginya potensi 90 peratus yang lain? Alangkah ruginya jika kita tidak berusaha menggunakan kesemua potensi minda anugerah daripada Maha Pencipta sekalian alam ini. Ibarat kita membeli sebuah kereta mahal yang boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan di darat, di laut dan di udara, tetapi kita hanya menggunakannya untuk bergerak di jalan raya sahaja. Saya membuka cerita tersebut sebagai moral untuk menunjukkan bahawa kehidupan kita adalah perkara-perkara yang terkandung di dalam minda kita. Jika kita mempunyai minda orang gagal, kita dapat melihat kehidupan orang-orang gagal iaitu kehidupan yang penuh dengan alasan untuk menjadikan mereka terus menjadi gagal. Jika kita mempunyai minda orang berjaya, kita dapat melihat kehidupan orang-orang yang berjaya iaitu kehidupan yang semakin maju dari hari ke hari. Saya ingin memetik satu mutiara kata menyatakan bahawa beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, terpedayalah orang yang hari ini sama seperti semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam. Kadang-kala kita tidak memahami konsep bersyukur. Ada orang yang mengatakan Tuhan sudah menjadikan hidup kita begini contohnya hidup susah, jadi bersyukur sahajalah dengan apa yang ada. Kita kena ingat suatu hari ketika Saidina Umar berjalan di pasar, beliau terjumpa seorang lelaki duduk dekat dinding sambil menadah tangan ke langit dan berdoa memohon agar Tuhan memberi rezeki kepadanya. Setelah melihat tingkah-laku lelaki tersebut, beliau memberi nasihat dengan sebuah perumpamaan bahawa seekor burung yang keluar dari sarangnya pada waktu pagi dengan perut yang kosong akan pulang semula ke sarangnya pada waktu petang dengan perut yang berisi. Itulah perumpamaan bahawa seekor burung yang tidak berakal dianugerahkan untuk berusaha, apatah lagi kita manusia yang diberikan akal agar terus berusaha memperbaiki kehidupan dari hari ke hari. Pemikiran yang dipengaruhi oleh zon selesa (comfort zone) akan menjadikan seseorang itu terus ditipu oleh arus kehidupan. Jadi, jika kita tidak berusaha memperbaiki kehidupan, bermakna kita tidak bersyukur dengan anugerah minda yang dikurniakan oleh Allah S.W.T ini dan tidak hairanlah ada yang tergamak menyalahkan Allah kerana menjadikannya seorang yang gagal.
Oleh yang demikian, kita harus mengubah minda dan tingkah-laku untuk menjadi orang yang berjaya. Sesungguhnya orang-orang yang berjaya memiliki minda orang berjaya, seorang doktor berjaya memiliki minda doktor berjaya, seorang peguam berjaya memiliki minda peguam berjaya, seorang ulama alim memiliki minda ulama alim dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment