"Allah S.W.T tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri." (Surah Al-Ra'd, ayat 13)
Pada pertengahan tahun baru-baru ini, saya telah mengelolakan satu slot motivasi untuk pelajar-pelajar di sekolah saya yang akan menduduki peperiksaan UPSR bagi tahun 2010. Terdapat beberapa perkara penting yang saya telah berikan sebagai santapan persediaan dalam perjuangan sebelum menduduki peperiksaan tersebut. Jika kita bertanya, siapakah yang sanggup untuk menduduki peperiksaan-peperiksaan penting seperti UPSR, PMR, SPM, STPM dan sebagainya untuk kali kedua? Jika mereka menyedari hakikat perjalanan MASA yang tidak dapat diputarkan kembali walaupun sedetik, nescaya mereka akan menjawab "tidak sanggup untuk mengulanginya untuk kali kedua"... Jadi, persediaan yang rapi dalam perjuangan ini sangat penting agar setiap pelajar tidak mengalami kegagalan pada kali pertama melakukannya seperti kata pepatah inggeris: "Do the right thing at the first time".
Pada slot tersebut, mula-mula sekali saya menekankan mengenai pembinaan matlamat dalam meneruskan kehidupan di masa hadapan iaitu impian atau cita-cita. Cita-cita amat penting untuk setiap diri individu kerana bermula dari cita-citalah seseorang itu dapat merancang misi dan visi hidupnya. Setelah ada perancangan, seterusnya perlaksanaan akan dilakukan untuk mendapatkan hasilnya. Seseorang yang mempunyai perancangan hidup seumpama dia memiliki sebuah kebun yang ditanam benih yang betul dan benih tersebut mengeluarkan hasil yang dia inginkan. Contohnya jika seseorang itu hendak mendapat hasil buah rambutan, maka benih yang ditanam perlulah benih pokok rambutan. Jika seseorang itu tidak mempunyai perancangan hidup, hidupnya seperti dia mempunyai sebuah kebun besar tetapi hanya ditumbuhi oleh semak-samun kerana semak-samun tidak memerlukan benih untuk ditanam.
Ciri-ciri persediaan untuk menghadapi peperiksaan.
Terdapat banyak ciri-ciri persediaan yang boleh dipraktikkan oleh pelajar sebelum menghadapi peperiksaan. Saya hanya sempat berkongsi empat ciri-ciri sahaja dengan pelajar ketika slot tersebut tetapi keempat-empat tersebut sudah memadai dan jika ada lagi tambahan maka itu lebih baik.
1. Tidak terburu-buru menjawab soalan.
Salah satu kesilapan yang dilakukan oleh pelajar ialah mereka cuai ketika menjawab soalan. Ada pelajar yang terus menjawab soalan tanpa membaca dahulu semua soalan dari muka surat pertama hingga muka akhir sebelum menjawab soalan-soalan tersebut. Jadi, pelajar yang dapat menjawab dengan baik ialah mereka yang sentiasa berhati-hati dan merancang masa dengan baik agar dapat menyiapkan jawapan dalam masa yang ditetapkan.
2. Kerap membuat latihan.
Cuba kita bayangkan ketika kita baru pertama kali pergi ke sesuatu tempat. Tentu sukar untuk mengetahui arah, jarak dan masa untuk sampai ke destinasi tersebut. Tetapi jika sudah berulang-kali pergi ke tempat tersebut, kita akan menjadi lebih mahir malahan boleh memberi tunjuk arah kepada orang lain tanpa kita membawa orang itu ke tempat tersebut. Begitulah perumpamaan dalam belajar, jika seseorang pelajar itu kerap membuat latihan maka tahap kemahiran manjawab dan kefahaman akan semakin meningkat.
3. Kreatif.
Jika kita diberikan sebatang pen, apakah yang kita akan nampak daripada pen tersebut? Jika kita hanya berfikir secara biasa, kita akan nampak sebatang pen dan mengatakan pen tersebut digunakan untuk menulis. Tetapi, jika kita berfikir di luar kotak pemikiran, kita akan nampak pen tersebutlah yang dapat menjadikan seseorang itu daripada buta huruf kepada seseorang yang hebat. Kita akan nampak wujudnya cendiakawan-cendiakawan, sekolah-sekolah, universiti-universiti, bangunan-bangunan pencakar langit dan sebagainya. Oleh itu, seseorang pelajar perlu kreatif dalam dalam aspek menjawab soalan. Di samping itu pelajar juga kreatif dalam teknik-teknik mengingat formula-formula dan fakta-fakta agar dapat menjawab soalan peperiksaan dengan mudah.
4. Usaha lebih.
Saya teringat nasihat seorang pensyarah ketika saya mengambil subjek perakaunan perniagaan semasa di universiti dahulu. Beliau mengatakan: "Jika hendak mendapat A kena usaha A++". Beliau bermaksud seseorang itu perlu berusaha lebih untuk mendapat keputusan yang cemerlang kerana usah mengharap keputusan A dalam peperiksaan jika usaha hanya sekadar boleh mendapat B atau C sahaja. Usaha lebih yang dimaksudkan ialah seseorang pelajar itu perlu bersifat proaktif seperti mancari rujukan-rujukan tambahan selain buku teks yang dibekalkan di sekolah. Selain itu, pelajar juga perlu mencari latihan-latihan tambahan selain latihan yang diberikan oleh guru.
Saya paparkan di sini dua rakaman aktiviti yang dilakukan oleh murid-murid dalam slot motivasi tersebut.
Ketika ini murid-murid diberi 2 keping kertas sama yang mengandungi kiraan nombor dari 1 hingga 100. Murid akan menjawab kedua-dua kertas tersebut berturutan. Hasilnya ialah mereka akan menunjukkan peningkatan nombor yang dibulatkan pada kertas kedua berbanding kertas pertama. Pengajaran yang didapati ialah jika seseorang membuat latihan yang kerap, maka kemahiran akan semakin bertambah seperti dinyatakan pada ciri yang kedua.
Ketika ini murid-murid dipaparkan sebuah segiempat besar yang mengandungi 16 segiempat sama di dalamnya. Murid-murid diminta meneka jumlah segiempat yang boleh didapati pada segiempat tersebut. Jika dilihat pada mata kasar, kita akan nampak 1 segiempat sama yang besar dan 16 segiempat sama di dalamnya, bermakna 17 segiempat sama yang dilihat. Tetapi jika seseorang itu kreatif, jumlah segiempat sama yang terdapat di situ adalah sebanyak 30 unit.
Oleh yang demikian, persediaan yang rapi perlu dilakukan oleh pelajar dalam perjuangan menuntut ilmu kerana ciri-ciri tersebut bukan sahaja dapat dipraktikkan ketika berada di alam persekolahan malahan sehingga menempuh alam pekerjaan ketika dewasa.
No comments:
Post a Comment