... 80% kejayaan dalam bekerja bergantung kepada kecerdasan emosi dan hanya 20% bergantung kepada kecerdasan intelek... (Human Resource megazine, November 1997)
Saya telah menulis sebelum ini bahawa manusia merupakan gabungan antara jasad, roh dan akal. Setiap manusia mempunyai potensi sendiri yang perlu diterokai untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan. Pendek kata, jika seseorang itu gagal dalam satu-satu bidang, tidak semestinya dia gagal segala-galanya. Bagi saya, dia belum jumpa bidang yang sesuai dengan dirinya. Sebelum itu, ada satu persoalan yang timbul... Apakah tujuan kita bersekolah? kadang-kadang, segelintir dari murid-murid yang datang ke sekolah tidak tahu apakah matlamat sebenar mereka datang ke sekolah. Sebab itulah ketika guru mengajar mereka tidak berkelakuan seperti murid sekolah. Jadi, keadaan ini perlu ditekankan dari awal lagi. Kebiasaannya apabila memasuki kelas, guru kelas akan bertanya apakah cita-cita murid-murid mereka apabila menjadi dewasa nanti. Ketika diajukan soalan tersebut, bermacam-macam bidang kerjaya yang akan keluar dari mulut mereka dan paling menyedihkan lagi ada yang tidak tahu nak jadi apa setelah dewasa nanti. Kita tidak boleh menyalahkan mereka jika mereka tidak tahu matlamat mereka datang ke sekolah dan gurulah yang bertanggungjawab mendedahkan matlamat mereka datang ke sekolah. Justeru itu, salah satu matlamat utama murid datang ke sekolah adalah bagi mendapatkan bidang kerjaya yang bagus setelah tamat alam persekolahan mereka. Kita sudah sedia maklum, sekolah mempunyai unit bimbingan dan kaunseling untuk mendedahkan peluang-peluang kerjaya yang bakal ditempuhi apabila murid-murid tersebut melangkah ke alam pekerjaan. Secara tidak langsung, cara ini dapat membuka minda murid-murid tentang matlamat mereka datang ke sekolah. Seorang motivator terkenal, Zig Ziglar pernah menyatakan bahawa kehidupan tanpa impian merupakan sebuah kematian. Ini bermakna, orang yang tidak ada impian atau matlamat hidup adalah mati sebelum mati. Seolah-olah hidupnya seperti hidupan lain yang ada di atas muka bumi ini seperti ikan, kucing, lembu, pokok dan sebagainya. Mereka hidup hanya untuk makan, minum, beranak-pinak dan berakhir dengan kematian. Oleh yang demikian, matlamat hidup adalah penting untuk didedahkan.
Tetapi persoalannya, bagaimanakah hendak mencapai matlamat tersebut? Jika kita hanya menasihati mereka agar berlumba-lumba mengejar cita-cita, mereka akan bersemangat untuk mencapainya tetapi sejauh manakah mereka dapat mancapai cita-cita tersebut. Nanti ada di antara mereka yang akan mencapainya dan ada yang terkandas di tengah jalan. Oleh itu, di sini saya ingin kongsikan salah satu perkara yang perlu diambil perhatian dalam proses mendidik anak-anak atau murid-murid sekolah agar mereka dapat membuat keputusan jalan manakah yang mereka harus pilih apabila menempuhi hari-hari yang mendatang. Perkara tersebut ialah mengambil berat mengenai kombinasi 3 aspek kecerdasan yang amat penting dalam diri seseorang iaitu kecerdasan intelek (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan spiritual (SQ). Sebelum itu, apakah yang dimaksudkan dengan kecerdasan? Robert Ornztein mengatakan kecerdasan merupakan bakat. Shephard dan Jupp (1976) pula mengatakan kecerdasan adalah keupayaan untuk belajar, berfikir dan menyesuaikan diri melalui pengalaman. Manakala Harward Gardner (1999) mendefinisikan kecerdasan sebagai 'keupayaan menyelesaikan masalah'. Banyak definisi yang telah dikemukakan tetapi secara tuntasnya kecerdasan membawa maksud 'keupayaan seseorang itu untuk membuat keputusan atau menyelesaikan masalah'. Walaubagaimanapun, kecerdasan intelek belum cukup menjamin syarat untuk seseorang itu mencapai kejayaan kerana menurut Salhah Abdullah (2009) dalam bukunya bertajuk Kecerdasan Pelbagai : Aplikasi dalam pengajaran dan pembelajaran menyatakan bahawa IQ sekadar prasyarat dan satu indikator kelayakan akademik yang memenuhi syarat memohon jawatan tetapi belum menjamin kejayaan tanpa kekuatan emosi dalaman. Kekuatan ini berkait rapat bagi seseorang itu dalam berkomunikasi dengan orang lain dan memberi pengaruh yang besar dalam prestasi di tempat kerja. Saya telah memetik kenyataan dari sebuah majalah ternama di atas tadi untuk menunjukkan bahawa kecerdasan intelek belum memadai lagi untuk seseorang itu menempuh kehidupan yang kian mencabar. Pada zaman dahulu sistem persekolahan lebih menitik beratkan aspek kecerdasan intelek, tetapi zaman sekarang sudah berubah ditambah pula dengan zaman yang dikatakan dunia tanpa sempadan (borderless).
Aspek kecerdasan emosi juga perlu ditekankan kerana kebijaksanaan seseorang menggunakan aspek perasaan dalam membuat keputusan dan bertindak ketika berkomunikasi dengan orang lain amat besar pengaruhnya berbanding memberikan hujah yang berdasarkan logik semata-mata. Menurut Young (1996), kecerdasan emosi (EQ) didefinisikan sebagai sejenis kecerdasan sosial yang melibatkan kemahiran memantau serta membuat diskriminasi antara emosi sendiri atau orang lain dan seterusnya, manfaatkan maklumat ini sebagai panduan pemikiran dan tindakan orang lain. Terdapat 5 dimensi kecerdasan emosi yang dapat diringkaskan iaitu:
1. pengetahuan kendiri
2. kawalan kendiri
3. motivasi kendiri
4. empati
5. kemahiran sosial
Oleh itu, keupayaan seseorang itu mengawal perasaan dalam apa jua keadaan amat penting terutamanya ketika berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling. Keadaan ini dapat mengelakkan daripada berlakunya perkara-perkara negatif yang tidak diigini seperti pergaduhan.
Di samping itu, IQ dan EQ sahaja tidak mencukupi. Kita sudah sedia maklum, manusia mempunyai agama yang menjadi pegangan hidup. Orang yang tidak mempunyai agama umpama layang-layang yang putus talinya, terbang tidak ada arah tujuan. Di dalam dunia ini, tidak ada agama yang menyuruh penganutnya membuat sesuatu yang perkara yang di luar norma hidup manusia, semuanya mengajak kepada kebaikan atau menjalani kehidupan yang bermoral. Jadi, kecerdasan spiritual (SQ) juga perlu diambil kira. Menurut Mohd. Azhar Abd. Hamid (2004) dalam buku EQ : Panduan meningkatkan kecerdasan emosi telah menyatakan bahawa "emosi hanya dimiliki oleh manusia namun tidak semua manusia memiliki kemanusiaan." Bagi Ary Ginanjar Agustian yang merupakan pengasas The ESQ Way 165, beliau telah mempersoalkan sejauh mana kita jujur pada diri sendiri. Nabi Muhammad SAW menyatakan, "Dosa membuat hati menjadi gelisah". Oleh yang demikian secara tuntasnya, SQ merupakan bagaimana seseorang itu menjaga hubungannya dengan Maha Pencipta, sesama manusia dan alam sekeliling.
Secara kesimpulannya, kehidupan seseorang itu perlu seimbang dalam aspek IQ, EQ dan SQ kerana perjalanan hidup memerlukan seseorang itu mempunyai kemahiran yang mampu membuat keputusan terbaik dalam semua keadaan. Jika keadaan ini tidak diambil kira, kita dapat lihat pada tahun 2005 sahaja lbh kurang 80,000 graduan menganggur disebabkan beberapa faktor dalaman seperti yang pernah dinyatakan oleh seorang individu iaitu tiada daya kreativiti dalam mencipta peluang pekerjaan sendiri, terikat dengan bidang pengkhususan ketika di universiti dalam menentukan kerjaya, terlalu memilih kerjaya dan terdapat juga graduan yang tidak menguasai bidang pengkhususan mereka dengan baik. Di samping itu, ketidakseimbangan dalam ketiga-tiga aspek kecerdasan ini juga boleh menimbulkan keadaan-keadaan buruk yang berlaku di sekiling kita seperti kecurian, pecah amanah, pembunuhan, peperangan, rempit, dadah dan sebagainya. Oleh yang demikian, sektor pendidikan dan institusi rumahtangga perlu menerapkan ketiga-tiga aspek ini kepada golongan kanak-kanak di bangku sekolah bagi melahirkan modal insan minda kelas pertama yang seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
Very good sharing...
ReplyDelete